Refleksi
NURUL SYAZWANI BT AHMAD RAMLI
2015165983

17 MARCH 2016

Bismilllahirrahmanirrahim  dan Assalamualaikum, 

  Hari ini saya belajar tentang asal usul manusia yang jarang sekali diketengahkan. Manusia mempunyai 2 unsur iaitu roh dan jasad. Jasad kita yang sekaranglah mencerminkan roh kita yang terdahulu. Masyarakat yang kucar kacir menggambarkan roh yang tidak sejahtera dan sukar untuk menjadi tamadun yang sempurna. Jika kita menginginkan roh yang sejahtera maka kembalilah kepada fitrah asal yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. 


21 MARCH 2016 

Bismilllahirrahmanirrahim  dan Assalamualaikum, 

  Pada minggu ini saya belajar mengenai tamadun dan peradaban. Allah S.W.T telah memilih manusia untuk membina tamadun dan menjadi khalifah. Hal ini demikian kerana, Allah S.W.T telah menjadikan manusia itu istimewa pada akalnya kerana dengan akal itulah manusia mampu memilih yang benar ataupun palsu untuk dirinya dan akal jugalah mampu membuat manusia itu mengenal Allah S.W.T dan menjadi khalifah tadbir urus alam dengan sebaiknya.


28 MARCH 2016 

Bismilllahirrahmanirrahim  dan Assalamualaikum, 

  Refleksi seterusnya, saya belajar mengenai roh. Kenapa roh asal kejadiannya adalah sesuatu yang mulia? Pertama, roh kita yang asalnya telah memilih untuk menerima ketuhanan Allah S.W.T dan secara sukarelanya roh telah menerima Allah S.W.T dalam keadaan sedar. Ini kerana roh kita sememangnya telah mengenali Allah S.W.T dan roh turut tunduk kepada Allah S.W.T. Kedua, roh kita dikatakan mulia kerana asalnya roh kita mempunyai sifat saling berkasih sayang antara satu sama lain. Dengan ini, saya belajar mengenai sifat kita yang asalnya dan semoga dengan itu kita dapat kembali kepada fitrah kita yang asal yakni seorang yang mulia. Aamiin 


4 APRIL 2016

Bismillahhirrahmannirrahim dan Assalamualaikum,

  Hasil yang saya dapat daripada pembelajaran hari ini ialah saya dapati bahawa agama Islam memberi sumbangan yang besar kepada pembinaan tamadun-tamadun yang wujud termasuk tamadun Melayu. Sebagai contoh, Islam telah membawa pembaharuan dalam sistem sosial di Tanah Melayu. Semenjak kedatangan Islam, golongan bawahan iaitu golongan hamba dan golongan miskin diberikan penghormatan dan hak yang sama rata. Hukuman yang dikenakan adalah sama tanpa mengira golongan.
  Oleh itu, kita harus ingat bahawa semua manusia tanpa mengira golongan adalah sama disisi Allah S.W.T.


18 April 2016

Bismillahirrahmannirrahim dan Assalamualaikum, 

  Refleksi saya pada kali ini ialah saya dapati bahawa kekuatan orang Melayu ini pada Islam. Islam meletakkan garis panduan bahawa sesebuah majlis itu boleh diraikan. Akan tetapi, majlis tersebut tidak boleh dimasukkan perkara yang mempunyai unsur-unsur yang boleh membatalkan iman yakni perbuatan syirik dan khurafat. Sesuatu perkara itu perlu ada saringannya. 
  Dengan ini jelaslah bahawa Islam telah membawa perubahan yang besar dan bermakna kepada tamadun Melayu. Saya berharap agar segala tindak-tanduk yang akan saya lakukan adalah selari dengan ajaran Islam serta berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Aamiin..


25 April 2016

Assalamualaikum,

  Input yang saya pelajari pada hari ini ialah erti pengorbanan dan kesetiaan. Baginda Rasulullah SAW telah banyak berkorban demi menyebarkan dan menyampaikan Islam. Bahkan baginda sentiasa bersabar walaupun dicaci dan dihina. Selepas kewafatan baginda, sahabat baginda iaitu Khulafa' al-Rasyidin mengambil alih dalam meneruskan legasi baginda menyampaikan agama Islam. Walaupun mereka menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang pemerintahan Khulafa' al-Rasyidin, namun mereka masih setia dalam mengejar keredhaan dan kasih sayang Allah SWT.
  Jadi sebagai umat baginda Rasulullah, kita seharusnya bersyukur dan sentiasa mengingati baginda. Tanpa pengorbanan Rasulullah dan sahabat, mungkin kita masih bergelumang dalam dunia masyarakat jahiliah. Selain itu, setiap perkara yang kita ingin lakukan haruslah disertakan niat kerana Allah SWT agar kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan seharian.


16 Mei 2016

Assalamualaikum,

  Pelbagai ilmu yang saya baru pelajari pada hari ini. Salah satunya ialah kenapa Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa utama semasa berdagang ? Hal ini demikian kerana Bahasa Melayu tidak dicampur dengan akidah Hindu. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tulen dan paling mudah untuk dipelajari. Ini bertujuan supaya mudah untuk agama Islam diterapkan ke dalam kehidupan masyarakat Nusantara pada ketika itu. 
  Selain itu, saya juga mendapati bahawa terdapat beberapa perkataan yang digunakan pada hari ini adalah asalnya daripada perkataan Arab dan membawa maksud keagamaan. Contohnya, ialah tanggungjawab. Setiap perkara yang akan kita lakukan perlu ditanggung sebaik mungkin agar kita dapat jawab apabila disoal semasa di alam akhirat kelak. Wallahualam...


23 Mei 2016

Assalamualaikum,

  Hasil daripada pembelajaran saya pada hari ini ialah saya belajar mengenai zaman kegemilangan dan keruntuhan sesebuah empayar Islam. Islam telah mencapai kegemilangan sejak daripada zaman Rasulullah SAW. Namun, pada ketika itu belum benar-benar wujud kerajaan Islam dan bilangan penduduk di Mekah yang memeluk Islam masih tidak ramai. Seterusnya wujud pula zaman Khulafa' al-Rasyidin, zaman Bani Umaiyah, zaman Bani Abbasiyah dan yang terakhir ialah zaman Turki Uthmaniyah. Berakhirnya zaman Turki Uthmaniyah menyebabkan Islam sering berhadapan dengan pelbagai konflik di dunia.
  Kita sebagai generasi Islam pada masa kini haruslah menjaga dan mempertahankan kesucian Islam agar ianya tidak akan terus diperkatakan dan diperkecikan. Segalanya bermula daripada keimanan dan keperibadian diri sendiri.


6 Jun 2016

Assalamualaikum, 

  Dapatan saya pada hari ini ialah saya belajar mengenai sifat-sifat tokoh yang ditemubual oleh saya dan rakan-rakan. Berdasarkan tokoh yang ditemubual iaitu Ustaz Ahmad, beliau sangat istiqamah dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang guru, pengetua Darul Muhubbin, penceramah dan sebagainya. Beliau asalnya bukanlah pelajar tahfiz atau pelajar sekolah agama, namun usaha dan semangat yang tertanam dalam jiwa beliau menjadi pendorong kepada kejayaan beliau. Jelaslah bahawa tiada yang mustahil untuk digapai dengan izin Allah SWT. 
  Sebagai pelajar, saya berharap agar kita dapat mengambil input daripada beliau untuk dijadikan anjakan paradigma agar kita menjadi pelajar yang mampu beroleh kejayaan di dunia mahupun di akhirat kelak. Aamiin...

NURUL SYAZWANI BINTI AHMAD RAMLI 




 
Tamadun Pencetus Bangsa Copyright © | Template designed by Liza Burhan | SEO by Islamic Blogger Template